01 Mac 2010

PERTUKARAN KAKITANGAN

Pada bulan ini, terdapat beberapa pertukaran kakitangan yang berlaku di JPPH Negeri Selangor.


SELAMAT DATANG



Tn. Hj. Azmi Bin Abd. Latiff
Bertugas di JPPH Gombak sebagai Penilai Daerah, bertukar dari JPPH Taiping bermula 01.03.2010.



Cik Muhainy binti Mohamad Nor
Bertugas di NAPIC Shah Alam selaku Pembantu Penilaian (W17), bertukar dari JPPH Melaka mulai 01.03.2010.



SELAMAT MAJU JAYA


En. Shahroramadhan bin Md. Napi
Pembantu Penilaian (W17) di JPPH Gombak, bertukar ke JPPH Ibu Pejabat mulai 01.03.2010.

JAMUAN GONG XI FA CAI

Satu majlis jamuan sempena Gong Xi Fa Cai telah diadakan di JPPH Shah Alam. Jamuan ini adalah merupakan anjuran Penilai Daerah Shah Alam, Ms. Tan Pek Voon. Ia diadakan sejurus selepas Majlis Perhimpunan Pagi bersama Pengarah Penilaian Negeri diadakan. Pada jamuan ini, PPN dan kakitangan telah berpeluang menikmati pengalaman menggaul Yee Sang iaitu makanan adat bagi kaum Cina. Semoga acara seperti ini akan merapatkan lagi hubungan silaturrahim antara kakitangan tanpa mengira agama dan bangsa.


Ms. Tan sedang menyediakan bahan untuk Yee Sang.

PPN, Ms. Tan dan pegawai-pegawai menggaul Yee Sang.

Kakitangan JPPH Shah Alam turut menggaul Yee Sang.


Mr. Liow menunjukkan cara menggaul Yee Sang yang betul.




PERHIMPUNAN PAGI BERSAMA PPN SELANGOR

Pada hari ini, jam 9.00 pagi bertempat di Bilik Mesyuarat Tingkat 4, JPPH Shah Alam telah diadakan Majlis Perhimpunan Pagi bersama Pengarah Penilaian Negeri Selangor. Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh En. Mohd Faizal Mohd Azhar. Ia diikuti dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu JPPH. Bacaan ikrar perkhidmatan awam pula dipimpin oleh Pn. Rashidah bt. Abd. Rahman.
Majlis ini merupakan acara bulanan yang melibatkan kakitangan Pejabat PPN dan JPPH Shah Alam. Pada perhimpunan ini, Tn. Hj. Nordin b. Daharom mendahului ucapannya dengan ucapan tahniah kepada jawatankuasa KESUPEN Shah Alam yang telah menjalankan Mesyuarat Agongnya pada 22 Februari yang lalu serta ucapan terima kasih di atas penyertaan kakitangan dalam Majlis Sambutan Maulidur Rasul pada 26 Februari 2010. Beliau juga telah membentangkan prestasi kerja pejabat JPPH Shah Alam. Beliau memohon kerjasama kakitangan untuk memperbaiki prestasi kerja jabatan. Beliau juga turut menyentuh mengenai 'data entry' NAPIC yang kurang memberangsangkan. Beliau berharap kakitangan akan berusaha menggembleng tenaga bagi memperbaiki dan meningkatkan jumlah 'data entry' tersebut pada masa depan. Perhimpunan diakhiri dengan sorakan Budaya Kerja Kelas Pertama yang dipimpin oleh PPN sendiri.
"Kerja Cergas, Kerja Cerdas, Kerja Ikhlas, JPPH 1st Class!!!"

SAMBUTAN MAULIDURRASUL PERINGKAT NEGERI SELANGOR 1431H/2010M

Pada 26 Februari 2010 (Jumaat) yang lalu, Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Selangor telah dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Antara program yang telah diadakan pada hari tersebut adalah perarakan, persembahan artis dan nasyid, ceramah dan penyampaian anugerah khas Mualidur Rasul. JPPH Negeri Selangor tidak ketinggalan untuk menyertai acara perarakan tersebut. Perarakan ini disertai oleh hampir 50 orang kakitangan yang terdiri daripada kakitangan pejabat PPN, JPPH Shah Alam dan JPPH Klang. Ia merupakan antara 120 kumpulan yang menyertai perarakan tersebut pada tahun ini. Menurut Pengarah Penilaian Negeri yang turut serta dalam perarakan tersebut, walaupun JPPH tidak memenangi sebarang pertandingan yang diadakan, tetapi penyertaan dalam perarakan tersebut adalah lebih bermakna. Semoga dapat diteruskan pada tahun-tahun yang akan datang.


Para peserta perarakan JPPH mengambil tempat.

Bergambar sebelum perarakan dimulakan.

Antara pegawai-pegawai yang turut serta dalam perarakan.


Pemegang sepanduk dan bendera pasukan JPPH.

Pasukan JPPH melangkah gagah.

Sepanduk pasukan JPPH.

Pasukan JPPH bergambar setibanya di Stadium Malawati, Shah Alam.

Persembahan Kumpulan Rabbani dan Amy Search.

Penyampaian anugerah dan hadiah oleh DYMM Sultan Selangor.

SELAMAT DATANG

Salam untuk semua,

Selamat Datang ke Laman Blog JPPH Negeri Selangor. Laman ini diwujudkan sebagai wadah informasi bagi perjalanan aktiviti yang dijalankan di JPPH Negeri Selangor yang turut melibatkan pejabat cawangannya iaitu JPPH Shah Alam, JPPH Bangi, JPPH Gombak dan JPPH Klang. Semoga laman ini akan dapat dimanfaatkan oleh semua warga kerja JPPH Negeri Selangor.